UtamaRencana MerdekaPejuang MerdekaGaleriPersepsi MerdekaUji MindaHubungi Kami

>>Karya Merdeka>> Khutbah
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Tajuk Khutbah :Mengisi Nikmat Kemerdekaan

     

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

 

 

Marilah kita bertaqwalah kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taqwa. Mukmin yang sejati akan sentiasa berusaha mempertingkatkan iman dan takwanya dengan  memperbanyakkan amal solleh dan meninggalkan amal-amal buruk, jahat dan fasik.

 

 

 

Sidang jemaah  yang dirahmati Allah,

 

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T di atas segala nikmat keselesaan  dan keamanan yang telah kita nikmati selama ini. Dengan keselesaan dan keamanan yang kita miliki inilah, maka kita dapat beriman dan bertaqwa kepada Allah dalam suasana tenang dan tenteram. Sebagai  mukmin yang sejati, apabila semakin besar nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita, lebih-lebih lagi nikmat beriman dan bertaqwa kepada Allah, maka akan semakin bersyukurlah kita kepada Allah iaitu dengan lebih banyak melakukan amal ibadah dan kebajikan kepada-Nya.

 

 

 Firman Allah S.W.T dalam surah Ibrahim ayat 7 bermaksud:


"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat Ku kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar maka sesungguhnya azabKu sangatlah pedih."

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Kemerdekaan sesebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa banyak umat atau bangsa yang mendiami dunia ini, sejak daripada dahulu hinggalah sekarang tidak berhenti-henti berjuang hanyalah untuk sesuatu yang dinamakan kemerdekaan. Kita lihat apa yang berlaku kepada umat Islam di Filipina dan  Palestin. Tidak kurang juga di Bosnia, Iraq dan Afghanistan. Tetapi hingga kini, mereka masih lagi memperjuangkan kemerdekaan mereka. Hidup mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan. Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk beragama dan tidak bebas melakukan amal ibadah kepada Allah.

Alhamdulillah, negara kita telah lama merdeka. Pada Tanggal 31 Ogos 2007 genaplah negara kita menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50. Jika dibandingkan dengan usia manusia 50 tahun adalah umur yang cukup matang.
Kematangan umur bukan sahaja telah memantapkan perjalanan hidup individu malah kemantapan sesebuah Negara. Sebagai warganegara Muslim di Negara yang bertuah ini, kita sewajarnya semakin cemerlang menerajui dan mencorakkan suasana Negara.

Kalau kita menyoroti sejarah tempoh Negara kita dijajah, kemerdekaan kita 50 tahun adalah amat pendek berbanding dengan 466 tahun kita dijajah. Bermula dengan kejatuhan Melaka ketangan Portugis, kemudian dijajah oleh Belanda, British, Jepun dan British kembali. Dalam tempoh penjajahan tersebut, para pejuang kemerdekaan telah berjuang menuntut kemerdekaan. Pelbagai cabaran dan halangan dilalui hingga akhirnya kemerdekaan negara tercapai pada 31hb Ogos 1957.

Firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 95:

"Tidakkah sama di antara mukmin yang duduk sahaja tidak berjuang/berperang dengan tidak mempunyai apa-apa keuzuran dengan orang yang berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa raga mereka. Allah melebihkan orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya mengatasi orang yang duduk (kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Kepada mereka masing-masing Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang yang berjuang di atas orang yang tinggal duduk tanpa keuzuran dengan pahala yang amat besar.
 

Pengorbanan para pejuang Negara menuntut kemerdekaan dari belengu penjajah amat besar buat kita. Berbanding dengan kita yang sebahagian besarnya dilahirkan sebagai anak-anak merdeka. Justeru itu sebagai umat yang berakhlak mulia dan bertanggung jawab kita sewajarnya menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanahair sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggalkan kita. 50 tahun usia kemerdekaan sewajarnya mematang dan mendewasakan kita namun, Apakah selepas 50 tahun merdeka kita semakin matang? Apakah selepas 50 tahun kita merdeka, kita semakin berdikari atau masih bergantung kepada orang lain? Bagaimana pula dengan ekonomi negara kita? Orang lain yang meneroka dan kaya ? sedang kita masih menjadi pekerja. Bagaimana pula dengan Sosial? Nampaknya kita masih menjadi peniru dan pewaris.Bagaimana dengan pencapaian Teknologi? Rupanya kita masih menjadi pengguna bukan pencipta

Sidang jemaah yang dimuliakan,

Islam yang didatangkan oleh Allah membawa sifat kemerdekaan Iaitu menyeru manusia membebaskan diri dan pemikiran dari belenggu jahiliyah dan syirik kepada mengesakan Allah. Membebaskan diri dari memperhambakan nafsu dan amalan syaitan. Membebaskan pemikiran dari kejahilan dan membebaskan negara dari cengkaman musuh. Islam membawa erti kesejahteraan, kedamaian dan keamanan. Semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita lihat kepada perkembangan awal Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah membawa umat ketika itu daripada kejahilan jahiliah kepada beriman kepada Allah, daripada cengkaman kafir Quraisy di Mekah kepada kemakmuran  negara Madinah dan menjadi Mekah yang merdeka. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa' ar-Rasyidin yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran penguasa. Membina umat yang berakhlak mulia dan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa maju ketika itu yang terdiri daripada Rom dan Parsi.  

Islam juga yang sifatnya merdeka dalam ertikata bebas dari keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah telah berjaya menyelamatkan tamadun manusia dari sistem perhambaan. Sama ada perhambaan manusia sesama manusia atau perhambaan manusia terhadap hawa nafsu .

Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:

"Kekalnya bangsa kerana mulia akhlaknya, musnahnya bangsa kerana runtuh akhlaknya".

Dalam kita mengisi erti kemerdekaan adalah amat malang jika kita masih memuja gaya hidup hedonisme (suka berhibur) Kita dilekakan dengan Malaysian Idol, Mentor, Akademik Fantasia  dan pelbagai lagi malah sanggup menghabiskan berjuta ringgit dalam tempoh yang singkat semata-mata memberikan kemenangan penyanyi yang di minati.

Kita mahu tanahair kita Malaysia bukan sahaja terkenal kerana keindahan dan kemakmuran muka buminya, kita juga mahu tanahair kita Malaysia mashyur dengan ketinggian budi pekerti dan disiplin rakyatnya. Apakah maknanya sebuah kemerdekaan sekiranya rakyat tidak berdisiplin? Apakah maknanya sebuah kemerdekaan sekiranya rakyatnya tidak berakhlak mulia? Apakah maknanya sebuah kemerdekaan jika kita masih mempertuhankan hawa nafsu?. Apakah maknanya kemerdekaan jika jiwa kita masih dibayangi dengan budaya hidup asing?

Kalau Rasulullah s.a.w., berhempas pulas berkorban segala-galanya untuk memerdekakan umat dari cengkaman kekufuran dan perhambaan terhadap hawa nafsu maka sempena dengan sambutan hari kemerdekaan ini, kita umat Islam hendaklah berazam membebaskan diri kita masing-masing daripada sifat-sifat ini semua.

 Rasulullah telah membawa umat Islam ke hadapan untuk menyaingi Rom dan Parsi. Islam kemudiannya terkenal bukan hanya digeruni oleh musuh malah dihormati oleh kawan dan lawan. Kemerdekaan yang dibawa oleh Rasulullah bukan hanya membebaskan Mekah daripada kongkongan Musyrikin malah membebaskan penduduk Mekah dan Madinah daripada kepercayaan syirik dan amalan jahiliah kepada kepercayaan kepada Allah yang Esa dan kemurnian ajaran Islam. Memerdekakan umat Islam daripada ketinggalan jauh kebelakang kepada umat yang maju dan menjadi contoh.

Sidang Jemaah yang dimuliakan

 Marilah kita mengisi kemerdekaan ini dengan: 

 Mengenang pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air kita

Tanya pada diri kita apakah sumbangan kita pula pada negara bertuah iniMenyatakan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan ini dengan berusaha untuk mempertingkatkan ilmu, beramal dan menyumbang

Bagi Mahasiswa yang bakal mewarnai negara pada masa akan datang, saya menyeru agar kalian mempersiapkan diri dengan kemampuan ilmu untuk menjadi pewaris pencorak negara pada masa akan datang. Firman Allah dalam surah Ar-rahman ayat 33:

”Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi, maka cubalah kamu menembusinya. Kamu tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan kekuasaan (kekuatan ilmu yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!”

 Ilmu adalah kekuatan untuk masa dahulu, sekarang dan masa akan datang. Kuasailah ilmu yang nantinya boleh menyumbang untuk kemakmuran negara. Merdekakanlah diri kalian dari kepompong markah dan pencapaian CPA cukup makan. Buang mentaliti sikap cukuplah tu!, asal lulus sudah lah!. Kita perlu lebih cemerlang untuk menyumbang dengan lebih baik.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

 Untuk mengisi dan mengekalkan kemerdekaan, kita perlu memperkukuhkan perpaduan sepertimana Rasulullah memperkukuhkan perpaduan negara Islam Madinah dengan mempersaudarakan Aus dan Khazraj, Muhajirin dan Ansar.  Tidak ada negara di dunia yang mempunyai masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan tenteram dan harmoni, saling bantu membantu dan hormat menghormati antara satu sama lain sepertimana dinikmati oleh negara kita ini. Suasana dan keadaan yang dialami oleh Malaysia ini merupakan satu cara yang dituntut oleh Islam di dalam masyarakat.


Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 1:

 "Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan

  perhubungan di antara kamu, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya jika betul kamu orang-orang yang beriman."


Perpaduan adalah sesuatu yang perlu dalam mewujudkan kecemerlangan sebuah organisasi. Sebagai sebuah universiti, untuk menjadikan UTM cemerlang, semangat toleransi dan  kerjasama perlu sentiasa dipupuk antara anggota organisasi, antara pemimpin dengan pekerja mahupun antara pelajar dan pensyarah. Kecemerlangan organisasi tidak datang begitu mudah tanpa pengorbanan dan kesungguhan semua pihak.

Sempena dengan semangat perayaan bulan kemerdekaan pada tahun ini, marilah kita sama-sama berperanan menyumbang untuk mengisi kemerdekaan ini dengan berusaha: 

  1. memerdekakan diri, jiwa dari belengu hawa nafsu dan syaitan serta berusaha menempatkan hidup kita menjadi insan diredhai Allah.
  2. mengembeling tenaga dan berusaha mempertahankan segala bentuk ancaman terhadap kesucian Islam sama ada aqidah, akhlak mahupun syariah
  3. berusaha menyumbang untuk membangunkan organisasi dan negara agar lebih cemerlang dan maju.
  4. sentiasa menyemarakkan semangat kerjasama, kasih sayang dan perpaduan antara anggota masyarakat demi kekuatan negara tercinta
  5. sentiasa berwaspada dengan unsur yang boleh megugat ketenteraman dan keharmonian negara serta berusaha menjauhinya

 

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Ali Imran: 110)

 Kemerdekaan menuntut kita berusaha meningkatkan kedudukan kita sehingga menduduki tahap  khaira ummah. Iaitu umat yang sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi maksiat malah sentiasa berusaha mengajak orang lain turut melaksanakan amal kebaikan dan menjauhi amal keburukan dan maksiat di samping sentiasa memastikan ia beriman kepada Allah.

Prof Madya Ajmain Safar
23 Ogos 2007
Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial
UTM


 

 
 
                                                   
        

Sebarang pertanyaan mengenai website ini boleh di e-mail kepada Webmaster
Hak Cipta Terpelihara.© 2007 Bahagian Teknologi Maklumat PPIPS
Paparan terbaik dengan resolusi 1024x768 dengan menggunakan pelayar Internet Explorer
.

]

 
Free Web Hosting