Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin
Haji Ahmad Badawi (lahir: 26 November 1939;
juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan
Perdana Menteri Malaysia ke-5, mewarisi Tun
Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga
merupakan Presiden UMNO, parti politik yang
paling besar dalam Malaysia. Sebelum menjadi
Perdana Menteri, beliau dilantik pada
beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan
Malaysia. Namun, beliau dipecat sebagai
Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam
Majlis Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau
tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga
1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu
Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun
Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada tahun
1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan
kepada Tun Dr. Mahathir, dan pada tahun
2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun
Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri
Malaysia dan Presiden UMNO.
Dilahirkan dalam keluarga yang warak di
Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang,
beliau menerima pendidikan menengah di
Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang
Methodist Boys School, Pulau Pinang.
Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru.
Selepas menerima Sarjana Muda Sastera dalam
bidang Pengajian Islam daripada Universiti
Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai
sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong
Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam.
Pada tahun 1969, Abdullah berpindah ke
Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah
badan yang berkuasa eksekutif untuk
mentadbir negara yang ditubuhkan selepas
rusuhan kaum pada Mei 1969. Abdullah
kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua
Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua
Setiausaha dalam kementerian yang sama pada
tahun 1974.
Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah
Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada
tahun 1965 dan dikurniakan dua orang
cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober
2005, Endon Mahmood meninggal dunia selepas
bergelut dengan penyakit barah payu dara
sejak 2003.
Setelah hampir 2 tahun menduda, beliau telah
terbuka hatinya untuk menerima Jeanne
Abdullah sebagai isteri beliau apabila
melangsungkan akad nikah pada 9 Jun 2007.
Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964.
Pada tahun 1978, beliau meletakkan jawatan
untuk menjadi ahli parlimen Kepala Batas di
Seberang Perai Utara (kawasan parlimen yang
pernah diwakili oleh allahyarham ayahandanya)
sehingga kini. Sejak 1981, Abdullah adalah
ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau telah
dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO
pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih
semula untuk jawatan tersebut pada tahun
1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000,
Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden
bagi penggal 2000 - 2003.
Pada awal tempoh khidmat Dr Mahathir sebagai
Perdana Menteri, satu pertikaian yang pahit
terletus dalam UMNO dan membahagikan parti
menjadi dua kem. Kumpulan yang menyokong Dr
Mahathir digelar 'Team A' manakala kumpulan
yang menyokong bekas Menteri Kewangan,
Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam digelar
'Team B'. Kemenangan Mahathir menyebabkan
Tengku Razaleigh Hamzah dihalang daripada
menyertai UMNO (Baru) yang baru ditubuh.
Oleh sebab Abdullah seorang penyokong kuat
kepada Musa Hitam, mentor politiknya, beliau
dipecat sebagai Menteri Pertahanan dalam
kabinet.
Abdullah dikembalikan jawatannya dalam
kabinet pada 1991 dan diberikan jawatan
Menteri Luar Negeri. Sehingga 1987, beliau
pernah menjawat jawatan:
* Setiausaha Parlimen di Kementerian
Wilayah Persekutuan (1978-80)
* Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah
Persekutuan (1980-81)
* Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(1981-84)
* Menteri Pelajaran (1984-86)
* Menteri Pertahanan (1986-87)
* Menteri Luar Negeri (15 Mac 1991 -
Januari 1999).
Kerjaya politiknya kembali sempurna dengan
perlantikan beliau sebagai Timbalan Perdana
Menteri serta Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri
pada Januari 1999, selepas pemecatan Anwar
Ibrahim. Sebagai Menteri Hal-ehwal Dalam
Negeri, Abdullah membatalkan pengharaman
Kitab Iban.
Seterusnya, Abdullah dilantik sebagai
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri
Dalam Negeri pada Januari 1999, sebelum
dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia
pada 31 Oktober 2003. Selain itu, Abdullah
juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri
Keselamatan Dalam Negeri.
Sejak menjadi perdana menteri, Abdullah
telah berjanji mengetatkan kawalan rasuah
dengan memberikan lebih kuasa kepada
agensi-agensi pencegah rasuah serta
memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan
rasuah kepada pihak berkuasa. Beliau juga
membuat tuduhan rasuah ke atas beberapa
tokoh masyarakat dari zaman Mahathir, satu
tindakan yang dipuji oleh orang ramai.
Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari,
satu tafsiran Islam yang mengatakan bahawa
perkembangan ekonomi dan teknologi adalah
secocok dengan ajaran Islam. Selain itu,
pentadbirannya menumpukan pemulihan sektor
pertanian Malaysia.
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 yang
merupakan pilihan raya sulung Abdullah sejak
menjadi Perdana Menteri, beliau mencapai
kemenangan besar untuk Barisan Nasional,
parti campurannya, dengan pencapaian 198
daripada 220 kerusi di Parliamen. Di
Terengganu, partinya menewaskan PAS yang
merupakan kerajaan negeri itu serta
hampir-hampir menawan kubu PAS di Kelantan.
Kemenangan ini dianggap secara meluas
sebagai tanda berkenan kepada visi Islam
yang sederhana berbanding fundamentalisme
agama serta sokongan kepada dasar-dasar
pencegah rasuahnya.
Pada September 2004, sewaktu dilepaskan dari
penjara, bekas Timbalan Perdana Menteri,
Anwar Ibrahim, yang telah dikurung oleh
bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir, memuji
Abdullah di khalayak ramai kerana tidak
campur tangan sewaktu mahkamah mengubah
keputusan tentang sabitan liwatnya.
Pada 10 September 2004, Abdullah, sebagai
Menteri Kewangan, mengemukakan belanjawan
sulungnya yang dianggap oleh orang ramai
sebagai berorientasi pengukuhan dan
penyelenggaraan berbanding dasar pertumbuhan
yang ditekankan oleh Dr Mahathir.
Abdullah juga terkenal kerana menekankan
keselamatan dalam negeri, selepas
menyaksikan pertumbuhan amalan rasuah
seperti penyogokan dalam pasukan polis.
Dikenali dalam lingkungan orang Melayu di
Malaysia sebagai Pak Lah (singkatan untuk
"Pak Cik Abdullah"), kerajaan Malaysia telah
mengeluarkan kenyataan bahawa Abdullah harus
tidak dirujuk dengan nama panggilannya dalam
dokumen rasmi serta dalam surat khabar;
bagaimanapun, nama panggilan tersebut masih
boleh digunakan secara tidak rasmi.
Sebenarnya, Abdullah sering menggunakan nama
panggilan itu untuk merujuk kepada diri
sendiri dalam perhimpunan awam.
Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah
telah menjawat jawatan pengerusi untuk
Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM)
dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Bermula dari 2005, beliau juga menjadi
pengerusi untuk ASEAN.
|